KITA HANYA MEMPERJUANGKAN NASIB KITA, HANYA KITA SAHAJA YANG TAHU MASALAH KITA, JADI
BERSATULAH DEMI SATU TUJUAN YANG SAMA


PENGIKUT

Mukadimah

Peranan guru GSTT mungkin dianggap remeh. Cukup hanya sebagai pelengkap di sekolah. Itu adalah pandangan segelintir masyarakat. Mungkin juga ada yang tidak menyedari kewujudan guru GSTT. Walhal sumbangan dan perkhidmatan guru GSTT amat penting dalam kelangsungan pendidikan di Malaysia. Malangnya sampai bilakah nasib guru GSTT akan tidak diendahkan. Apakah tiada ertinya pengorbanan selama ini? Untuk itu, guru GSTT perlu bersama-sama memperjuangkan hak sebagai jaminan kehidupan yang lebih bermakna.

Undang-Undang Tubuh PGM

PERTUBUHAN            : PERSATUAN GSTT MALAYSIA
Atau nama singkatannya : PGM





UNDANG-UNDANG TUBUH BAGI 

PERTUBUHAN PERSATUAN GSTT MALAYSIA (PGM)




KANDUNGAN

FASAL 1   NAMA
FASAL 2   TEMPAT URUSAN
FASAL 3   BENDERA, LAMBANG DAN LENCANA
FASAL 4   TUJUAN/MATLAMAT
FASAL 5   KEAHLIAN
FASAL 6   BAYARAN MASUK, YURAN DAN BAYARAN LAIN
FASAL 7   PEMBERHENTIAN DAN PEMECATAN AHLI
FASAL 8   MESYUARAT AGUNG
FASAL 9   JAWATANKUASA
FASAL 10 KEWAJIPAN-KEWAJIPAN PEGAWAI
FASAL 11 KEWANGAN
FASAL 12 PEMERIKSA KIRA-KIRA
FASAL 13 HARTA
FASAL 14 TAFSIRAN UNDANG-UNDANG
FASAL 15 PENAUNG/PENASIHAT
FASAL 16 LARANGAN
FASAL 17 PINDAAN UNDANG-UNDANG
FASAL 18 PEMBUBARAN

UNDANG-UNDANG TUBUH BAGI PERSATUAN GSTT MALAYSIA

FASAL 1 NAMA
(1)      Pertubuhan ini dikenali dengan nama PERSATUAN GSTT MALAYSIA dan nama singkatannya PGM. Selepas ini disebut Persatuan.

(2)      GSTT ialah Guru Sandaran Tidak Terlatih

FASAL 2 TEMPAT URUSAN
(1)      Alamat berdaftar dan tempat urusan Pertubuhan ialah

181 KAMPUNG KOTA,
TUALANG SEKAH,
31700 MALIM NAWAR,
PERAK.

dan alamat untuk surat menyurat yang akan ditetapkan dari semasa ke semasa oleh jawatankuasa ialah:

181 KAMPUNG KOTA,
TUALANG SEKAH,
31700 MALIM NAWAR,
PERAK.

Tempat urusan berdaftar Pertubuhan tidak boleh diubah tanpa kebenaran Pendaftar Pertubuhan terlebih dahulu.

FASAL 3 BENDERA, LAMBANG, LENCANA
(1) Rupabentuk serta maksud dan/atau ciri-ciri bagi Bendera dan/atau Lambang dan/atau Lencana Pertubuhan adalah seperti di LAMPIRAN 1 Undang-undang Tubuh ini.

(2) Penggunaan Bendera, Lambang dan Lencana Pertubuhan adalah untuk kegunaan rasmi sahaja.

(3) Sebarang penggunaan Bendera atau Lambang atau Lencana Pertubuhan oleh pihak ketiga atau ahli Pertubuhan perlulah mendapat keizinan bertulis daripada Jawatankuasa.

(4) Jawatankuasa berhak untuk menetapkan apa-apa kaedah termasuk bayaran bagi menggunakan Bendera, Lambang, Lencana Pertubuhan.

FASAL 4 TUJUAN/MATLAMAT
(1) Tujuan Persatuan ini adalah untuk menjaga kepentingan dan kebajikan GSTT seluruh Malaysia.

(2) Matlamat Pertubuhan ini adalah:-

a) Memupuk semangat perpaduan dan saling bekerjasama antara ahli.
b) Memberikan sumbangan dan perkhidmatan secara berterusan kepada pelajar berlandaskan Dasar Pendidikan Kebangsaan.
c) Mengadakan hubungan dan kerjasama dengan pertubuhan lain demi kebaikan dan kepentingan ahli-ahli.


FASAL 5 KEAHLIAN
(1) Bagi menjadi ahli kepada Persatuan ini, maka kelayakan serta syarat keahlian adalah seperti berikut:-

a.Hendaklah warganegara Malaysia.
b. Terbuka kepada semua GSTT dan bekas GSTT
c. Terbuka kepada semua jantina.
d.Terbuka kepada semua pegangan agama/kepercayaan.
e.Terbuka kepada semua kaum.
f. Tiada had ke atas pertalian kekeluargaan.
g. Tinggal di Malaysia
h. Tiada had bilangan ahli

(2) Tiap-tiap permohonan menjadi ahli hendaklah dicadang dan disokong oleh 2 orang ahli dan dihantar kepada Setiausaha yang dikehendaki mengemukakan permohonan itu dengan secepat mungkin kepada Jawatankuasa untuk diluluskan. Jawatankuasa boleh mengikut budibicaranya menolak sebarang permohonan tanpa memberi sebab-sebabnya.

(3)Tiap-tiap pemohon yang permohonannya telah diluluskan seperti tersebut di atas, hendaklah setelah membayar bayaran masuk dan yuran tahunan pertama yang ditetapkan diterima menjadi ahli Pertubuhan dan berhaklah ia menjadi ahli.

FASAL 6 BAYARAN MASUK, YURAN DAN BAYARAN LAIN
(1)Bayaran masuk dan yuran yang perlu dijelaskan adalah seperti berikut:

Bayaran Masuk RM 7 .00 (Ringgit Malaysia Tujuh Sahaja)

Yuran Tahunan RM 3.00 (Ringgit Malaysia Tiga Sahaja)

(2)Yuran tahunan jika ada hendaklah dijelaskan kepada Bendahari dalam tempoh satu (1) bulan dari 1 Mei tiap-tiap tahun atau ditetapkan oleh jawatankuasa dari masa ke semasa.

(3)Ahli yang membiarkan hutang yurannya lebih daripada dua tahun akan menerima surat peringatan yang ditandatangani oleh Bendahari atau wakilnya, dan hilanglah hak-hak keistimewaannya sebagai ahli sehingga hutangnya dijelaskan.

(4)Ahli yang membiarkan hutang yurannya sebanyak lebih daripada Jumlah yuran bagi tiga tahun dengan sendirinya digantung daripada menjadi ahli Pertubuhan ini dan Jawatankuasa boleh memerintahkan supaya tindakan yang sah diambil terhadapnya dengan syarat mereka berpuashati yang ahli itu telah menerima penyata berkenaan hutangnya terlebih dahulu.

(5)Jawatankuasa mempunyai kuasa menetapkan yuran masuk semula bagi sesiapa yang membiarkan keahliannya terlucut disebabkan hutang atau dipecat dengan Jumlah tidak kurang dari sekali ganda Bayaran Masuk serta telah melangsaikan hutangnya dengan Persatuan.

(6)Yuran khas atau kutipan wang daripada ahli-ahli untuk perkara yang tertentu boleh dipungut dengan persetujuan Mesyuarat Agung . Sekiranya ada ahli yang mungkir membayar yuran atau kutipan wang tersebut dalam tempoh yang telah ditetapkan, maka yuran atau kutipan wang itu akan terhutang olehnya kepada persatuan.


FASAL 7 PEMBERHENTIAN DAN PEMECATAN AHLI
(1)Ahli yang hendak berhenti daripada menjadi ahli persatuan hendaklah memberi kenyataan bertulis 2 minggu terlebih dahulu kepada setiausaha dan melunaskan segala hutangnya.

(2)Mana-mana ahli yang gagal mematuhi undang-undang Persatuan atau telah bertindak dengan cara yang mencemarkan nama baik persatuan boleh digantung keahliannya bagi suatu tempoh sebagai mana yang difikirkan munasabah atau dipecat oleh jawatankuasa.

(3)Sebelum sebarang tindakan yang akan menyentuh keahlian Ahli berkenaan, maka hendaklah Jawatankuasa mengemukakan kepadanya surat tunjuk sebab mengapa tindakan tatatertib tidak boleh di ambil ke atasnya.Surat berkenaan dihantar kepada alamat terakhirnya di dalam daftar ahli.Sekiranya jawapan bertulis diterima daripadanya dalam tempoh 14 hari daripada tarikh dia menerimanya, maka dia hendaklah diberikan peluang untuk membela diri secara bersemuka dengan jawatankuasa.

(4)Jawatankuasa hendaklah menimbangkan alasan-alasan yang diberikan olehnya sebelum membuat keputusan sama ada mendenda,menggantung keahliannnya atau memecat.keputusan Jawatankuasa hendaklah dimaklumkan kepadanya secara bertulis kepada alamat dalam daftar ahli.Keputusan Jawatankuasa ini bolehlah dirayu oleh ahli melalui usul dalam Mesyuarat Agung terdekat.

(5)Pemecatan atau penggantungan itu hendaklah dilaksanakan melainkan Mesyuarat Agung meminda atau membatalkan keputusan Jawatankuasa.

FASAL 8 MESYUARAT AGUNG
(1) Pengelolaan persatuan ini adalah tertakluk kepada keputusan Mesyuarat Agung. Sekurang-kurangnya satu perdua (½) daripada jumlah ahli yang berhak mengundi atau dua kali ganda jumlah ahli jawatankuasa, mengikut mana yang kurang, hendaklah hadir di dalam mesyuarat agung bagi mengesahkan perjalanan mesyuarat dan korum untuk mesyuarat.

(2) Jika korum tidak dipenuhi selepas setengah jam (30minit) daripada waktu yang telah ditetapkan untuk mesyuarat, maka mesyuarat itu hendaklah ditangguhkan kepada suatu tarikh lain, iaitu tidak lebih daripada 30 hari dari tarikh mesyuarat tertangguh itu.yang akan ditetapkan oleh jawatankuasa.

(3) Sekiranya korum tidak cukup selepas setengah jam (30 minit) daripada waktu yang telah ditetapkan untuk mesyuarat yang ditangguhkan itu, maka berkuasalah ahli-ahli yang hadir menjalankan mesyuarat tetapi tidaklah berkuasa meminda undang-undang tubuh persatuan dan membuat keputusan-keputusan yang melibatkan semua ahli.

(4) Mesyuarat agung tahunan bagi Persatuan hendaklah diadakan dengan secepat mungkin setelah berakhirnya tahun kewangan tetapi tidak melewati 6 bulan daripada tarikh kewangan persatuan berakhir.

(5) Tarikh, masa dan tempat yang ditetapkan oleh jawatankuasa. kerja-kerja Mesyuarat Agung Tahunan ialah:
(a) menerima laporan Jawatankuasa berkenaan perjalanan Persatuan dalam tahun lalu;
(b) menerima laporan bendahari dan penyata kewangan yang telah diaudit bagi tahun yang lalu;
c) memilih ahli2 jawatankuasa dan pemeriksa kira-kira dan Pemegang Amanah untuk tahun akan datang(jika ada);
(d) Membahaskan usul rayuan keahlian yang digantung atau dipecat.
(e) Membahaskan,menerima atau menolak usul-usul ahli-ahli; (f) Menguruskan perkara-perkara lain yang dibentangkan di dalam mesyuarat itu.

(6) Setiausaha hendaklah menghantar kepada tiap-tiap ahli sekurang- kurangnya lima belas(15) hari sebelum tarikh dan masa mesyuarat agung tahunan itu diadakan, satu naskhah Agenda Mesyuarat yang antara lain mengandungi;
(a) surat peringatan mesyuarat;
(b) Laporan kegiatan persatuan;
c) Laporan jawatankuasa persatuan;
(d) penyata kira-kira persatuan teraudit bagi tahun lalu;
(e) Surat pemberitahuan usul;dan
(f) Lain-lain perkara berkaitan dengan mesyuarat agung.
Satu salinan agenda mesyuarat ini juga hendaklah dibekalkan untuk dirujuk oleh ahli-ahli di alamat tempat urusan persatuan.

(7) Mana-mana ahli yang ingin mengemukakan usul untuk dibahaskan semasa Mesyuarat Agung hendaklah dia mengemukakan secara bertulis kepada setiausaha tidak lewat daripada 7 hari (termasuk hari penyampaian) daripada tarikh mesyuarat agung itu diadakan.Apabila menerima pernyataan bertulis usul berkenaan, setiausaha hendaklah memasukkannnya dalam mesyuarat agung berkenaan untuk dibahaskan oleh para ahli semasa mesyuarat agung itu berlangsung.Usul yang dibahaskan dan diundi hendaklah gugur sekiranya ianya ditolak oleh para ahli mesyuarat melalui undi terbanyak menolaknya atau undi sama banyak.

(8) Mesyuarat agung khas bagi pertubuhan ini boleh diadakan:
(a) Bila difikirkan mustahak oleh jawatankuasa, atau
(b) atas permintaan para ahli secara bertulis oleh tidak kurang daripada satu perlima (1/5) daripada jumlah ahli yang berhak mengundi dengan menerangkan tujuan dan sebab mengadakannya. Permintaan ini hendaklah di hantar kepada setiausaha persatuan.

(9) Mesyuarat agong khas yang diminta oleh ahli-ahli hendaklah diadakan pada satu tarikh di dalam tempoh tiga puluh(30) hari dari tarikh penerimaan permintaan mesyuarat itu.

(10) Tertakluk pada Fasal 7, agenda mesyuarat agung khas itu hendaklah diedarkan oleh setiausaha kepada semua ahli sekurang-kurangnya lima belas(15) hari sebelum tarikh yang telah ditetapkan untuk bermesyuarat.

(11) Fasal 8 (1) dan 8 (2) di dalam undang-undang ini berkenaan korum dan penangguhan mesyuarat agung tahunan boleh digunakan untuk mesyuarat agung khas tetapi dengan syarat jika korum tidak mencukupi selepas setengah jam dari waktu yang telah ditetapkan bagi mesyuarat agung khas atas permintaan ahli-ahli itu maka mesyuarat tersebut hendaklah terbatal dan dalam tempoh enam bulan dari tarikh terbatalnya mesyuarat agung khas itu,mesyuarat agung khas atas permintaan ahli- ahli dengan tujuan yang sama tidaklah boleh diadakan.

(12) Pengerusi mesyuarat agung hendaklah dipilih di antara kalangan ahli sebelum sesuatu mesyuarat agung itu dilangsungkan.Pengerusi mesyuarat boleh mengundi semasa undian dijalankan dan tiada undi pemutus.

(13) Setiausaha hendaklah menghantar kepada tiap-tiap ahli satu salinan deraf minit mesyuarat agung dalam tempoh dua puluh satu(21) hari setelah selesainya mesyuarat itu.

(14) Setiausaha hendaklah dalam masa enam puluh(60) hari daripada tarikh mesyuarat agung diadakan mengirimkan penyata persatuan kepada Pendaftar Pertubuhan sebagaimana yang dikehendaki di bawah akta pertubuhan.


FASA 9 JAWATANKUASA
(1) a) Satu jawatankuasa yang dinamakan pegawai-pegawai persatuan hendaklah dipilih di dalam mesyuarat agung tahunan dari kalangan ahli persatuan :
seorang Pengerusi
seorang Setiausaha
seorang Bendahari
seorang Ahli Jawatankuasa
(b) Persatuan boleh juga memilih dari kalangan ahlinya dalam Mesyuarat Agung Tahunan tersebut mengikut keperluannya Pegawai-pegawai Pertubuhan tambahan yan terdiri daripada:
i. Timbalan Pengerusi
ii. 1 Naib Pengerusi
iii. 1 Penolong Setiausaha
iv. 1 Penolong Bendahari
v. 4 Ahli Jawatankuasa

(2) Pemegang-pemegang jawatan persatuan ini dan tiap-tiap pegawai yang menjalankan tugas eksekutif dalam persatuan ini hendaklah terdiri daripada warganegara Malaysia.

(3) Nama-nama untuk jawatan-jawatan di atas hendaklah dicadangkan serta disokong dan pemilihan akan dijalankan dengan cara mengundi oleh ahli-ahli di dalam mesyuarat agung tahunan.Tempoh memegang jawatan bagi Pegawai yang dipilih adalah selama setahun.Semua pegawai boleh dipilih semula apabila tamat tempoh jawatannya tidak lebih dari dua tempoh/penggal jawatan berturut –turut bagi jawatan yang sama.

(4) Fungsi jawatankuasa ialah
(a) Mengelola dan mengaturkan kerja-kerja harian persatuan;dan
(b) Membuat keputusan atas perkara-perkara mengenai perjalanan Persatuan mengikut dasar yang telah ditetapkan oleh Mesyuarat Agung;
Jawatankuasa tidaklah boleh mengambil tindakan yang bertentangan dengan keputusan Mesyuarat Agung dengan tidak lebih dahulu berhubung dengannya dan jawatankuasa mestilah sentiasa mematuhi keputusan Mesyuarat Agung.Jawatankuasa hendaklah mengemukakan laporan berkenaan kegiatannya bagi tahun lalu kepada tiap-tiap Mesyuarat Agung Tahunan.

(5) Jawatankuasa hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali dalam enam(6) bulan.Pemberitahuan bagi tiap-tiap mesyuarat hendaklah diberikan kepada ahli jawatankuasa tujuh(7) hari terlebih dahulu.Pengerusi dengan bersendirian atau tidak kurang daripada dua(2) orang pegawai pertubuhan bersama-sama boleh memanggil supaya diadakan Mesyuarat Jawatankuasa pada bila-bila masa.Korum Mesyuarat Jawatankuasa adalah setengah(1/2) daripada bilangan Jawatankuasa Persatuan.

(6) Jika timbul perkara mustahak yang berkehendakkan kelulusan Jawatankuasa dan mesyuarat tidak dapat diadakan,maka setiausaha bolehlah mendapatkan kelulusan daripada ahli-ahli jawatankuasa secara edaran,Minit Mesyuarat Edaran, Syarat-syarat mengenainya seperti berikut mestilah disempurnakan sebelum keputusan Jawatankuasa boleh dianggap sebagai telah diterima:
(a) Masalah yang dibangkitkan serta keputusan yang disyorkan itu hendaklah dibutirkan dengan jelas di dalam minit mesyuarat edaran yang diedarkan kepada setiap ahli jawatankuasa;
(b) Sekurang-kurangnya setengah daripada bilangan ahli jawatankuasa mestilah menyatakan persetujuan atau bantahan secara bertulis mereka terhadap cadangan keputusan itu;dan
(c) Keputusan hendaklah dengan undian yang terbanyak. Tiada undi pemutus. Sebarang keputusan yang diperolehi melalui minit mesyuarat edaran hendaklah dilaporkan oleh Setiausaha kepada Mesyuarat Jawatankuasa berikutnya dan dicatatkan di dalam peringatan mesyuarat.

(7) Ahli Jawatankuasa yang mungkir menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa tiga kali berturut-turut tanpa alasan yang dapat diterima oleh Jawatankuasa, hendaklah disifatkan sebagai telah meletakkan jawatan di dalam Jawatankuasa.

(8) Jika seorang Pegawai Persatuan meninggal dunia atau meletakkan jawatan, calon kedua mendapat undi terbanyak di dalam pemilihan yang lalu hendaklah dipanggil untuk memenuhkan kekosongan itu.Jika calon yang sedemikian tidak ada atau menolak jawatan itu, maka berkuasalah Jawatankuasa melantik ahli yang lain memenuhkan kekosongan itu sehingga Mesyuarat Agung Tahunan terdekat diadakan.

(9) Jawatankuasa boleh memberi perintah kepada Setiausaha dan pegawai-pegawai lain untuk menjalankan urusan-urusan Pertubuhan, dan melantik pengurus dan kakitangan yang difikirkannya mustahak. Ia boleh menggantungkan atau melucutkan jawatan sebarang pengurus atau kakitangan kerana cuai di dalam pekerjaan,curang,tidak cekap,ingkar menjalankan keputusan Jawatankuasa atau kerana sebab-sebab yang difikirkan boleh merosakkan kepentingan Persatuan.

(10) Jawatankuasa boleh menubuhkan Jawatankuasa kecil jika difikirkan mustahak dan memberikan kewajipan khas kepada sebarang ahli Jawatankuasa atau ahli.

FASAL 10 KEWAJIPAN – KEWAJIPAN PEGAWAI
(1) Pengerusi, dalam tempoh memegang jawatannya, hendaklah menjadi Pengerusi mesyuarat jawatankuasa dan bertanggungjawab atas kesempurnaan perjalanan semua mesyuarat. Beliau mempunyai undi pemutus dan hendaklah ia menandatangani minit mesyuarat bila telah diluluskan dan disahkan. Beliau hendaklah menandatangani semua cek Pertubuhan bersama-sama dengan Setiausaha dan Bendahari.

(2) Setiausaha hendaklah menjalankan kerja pentadbiran Persatuan mengikut undang-undang dan hendaklah ia menjalankan perintah Mesyuarat Agung dan Jawatankuasa. Beliau hendaklah menandatangani semua cek Pertubuhan bersama-sama dengan Yang Dipertua dan Bendahari.
Beliau bertanggungjawab serta menguruskan;
(a) Termasuk mengendalikan urusan surat menyurat dan fail persatuan;
(b) Menyimpan Daftar Minit dan Cabutan Minit Mesyuarat dan semua rekod berkaitan notis,catatan perjalanan mesyuarat dan sebagainya.
(c) Tidak terhad hanya kepada menyimpan semua buku, surat dan kertas kerja, naskah perundangan, kontrak/perjanjian kecuali akaun dan buku-buku berkaitan kewangan;
(d) Hendaklah menyimpan serta mengemaskini buku daftar ahli yang mengandungi butiran seperti nama, tempat dan tarikh lahir, nombor kad pengenalan, pekerjaan, nama dan alamat majikan dan alamat perhubungan dan tetap;
(e) Meterai persatuan

(3) Bendahari adalah bertanggungjawab berkenaan semua hal kewangan dan harta persatuan. Beliau hendaklah membuat dan menyimpan kira-kira berkenaan semua perkara berkenaan dengan harta dan kewangan termasuk resit dan bertanggungjawab di atas ketepatannya.beliau hendaklah menandatangani semua cek Persatuan bersama-sama dengan Pengerusi dan Setiausaha.

(4) Ahli jawatankuasa biasa hendaklah membantu Jawatankuasa dalam menjalankan tugas yang diarahkan oleh jawatankuasa terhadapnya.

(5) Pegawai-pegawai tambahan hendaklah membantu Pegawai-pegawai Persatuan menjalankan kerja-kerja yang ditetapkan oleh Jawatankuasa serta memangku jawatan itu semasa ketiadaan Pegawai-pegawai berkenaan.

(6) Mana-mana tindakan yang dibuat oleh Jawatankuasa hendaklah secara suci hati dan demi kepentingan tujuan dan matlamat persatuan.Tindakan berkenaan adalah tanggungan secara bersesama melainkan dapat dibuktikan sebaliknya.Persatuan akan menanggung dan melepaskan Jawatankuasa daripada apa-apa tanggungan jika tindakan yang dilakukan oleh Jawatankuasa adalah suci hati dan demi kepentingan tujuan dan matlamat Persatuan.

FASAL 11 KEWANGAN
(1) Tertakluk kepada peruntukan –peruntukan dalam undang-undang ini, wang Persatuan ini boleh digunakan untuk perkara yang berfaedah bagi menjalankan tujuan-tujuan Persatuan, termasuklah belanja pentadbiran, bayaran gaji,biayaan dan perbelanjaan pegawai-pegawai dan kakitangan yang bergaji serta upah memeriksa kira-kira.Walau bagaimanapun, wang itu tidaklah boleh digunakan untuk membayar denda ahli yang telah dijatuhkan hukuman oleh mahkamah.

(2) Bendahari dibenarkan menyimpan wang tunai tidak lebih daripada RM1000.00 (Ringgit Malaysia Seribu Sahaja) pada sesuatu masa. Wang yang lebih daripada jumlah itu mestilah dimasukkan ke dalam akaun bank yang diluluskan oleh Jawatankuasa. Akaun bank itu hendaklah di atas nama Persatuan.

(3) Segala cek atau kenyataan pengeluaran wang daripada Persatuan hendaklah ditandatangani secara bersama oleh Pengerusi, Setiauasaha dan Bendahari.Sekiranya berlaku kekosongan penjawat bagi jawatan Pengerusi atau Setiausaha atau Bendahari maka Jawatankuasa bolehlah melantik di kalangan mereka sebagai pengganti untuk menandatangani cek atau kenyataan pengeluaran wang persatuan

(4) Perbelanjaan/pembayaran yang melebihi RM 1000.00 (Ringgit Malaysia Seribu Sahaja) dalam sesuatu masa hendaklah dibayar setelah mendapat kelulusan oleh Jawatankuasa terlebih dahulu. Kebenaran Mesyuarat Agung hendaklah diperolehi terlebih dahulu sebelum perbelanjaan yang lebih daripada RM 5000.00(Ringgit Malaysia Lima Ribu Sahaja) bagi sesuatu masa dilakukan.Perbelanjaan yang kurang daripada RM 1000.00 (Ringgit Malaysia Seribu Sahaja) bagi sesuatu masa boleh diluluskan oleh Pengerusi bersama Setiausaha dan Bendahari.

(5) Penyata darihal wang yang diterima dan perbelanjaan serta kunci kira-kira bagi setahun hendaklah disediakan oleh Bendahari dan diperiksa oleh Pemeriksa Kira-kira yang dilantik di bawah Fasal 12 Undang-undang ini dengan seberapa segera setelah tamatnya tahun kewangan.Penyata kira-kira yang telah di audit itu hendaklah dikemukakan untuk diluluskan oleh Mesyuarat Agung Tahunan yang berikut dan salinanya hendaklah dibekalkan untuk makluman ahli di alamat tempat urusan Pertubuhan.

(6) Tahun kewangan Pertubuhan ini adalah setahun bermula dari 1 Januari dan berakhir dua belas bulan berikutnya.

FASAL 12 PEMERIKSA KIRA-KIRA
(1) Dua orang yang bukannya pegawai persatuan boleh dilantik di dalam mesyuarat agung tahunan sebagai pemeriksa kira-kira. Mereka akan memegang jawatan selama satu tahun dan boleh dilantik semula.

(2) Pemeriksa Kira-kira adalah dikehendaki memeriksa kira-kira Persatuan bagi tempoh tahun kewangan beliau dipilih dan membuat laporan kepada Mesyuarat Agung Tahunan. Mereka juga dikehendaki pada bila-bila masa sahaja oleh Pengerusi mengaudit kira-kira Persatuan bagi mana-mana masa di dalam tempoh perkhidmatan mereka dan membuat laporan kepada Jawatankuasa.

FASAL 13 PENGAMANAH
(1) Dua orang pemegang Amanah yang berumur lebih daripada 21 tahun hendaklah dilantik di dalam Mesyuarat Agung jika perlu, dan mereka akan berkhidmat selama yang dikehendaki oleh Persatuan.Semua harta tetap kepunyaan Persatuan akan diamanahkan kepada mereka dengan menandatangani suatu Surat Amanah (Deed of Trust). Mana-mana harta Persatuan yang diletakkan atas nama Pemegang Amanah hendaklah kepunyaan dan milikan Persatuan walaupun tiada Surat Amanah.Semua belanja yang terlibat dalam mengurus dan mentadbir harta berkenaan termasuklah pembayaran sagu hati hendaklah ditanggung sepenuhnya oleh Persatuan.

(2) Persatuan hendaklah melepaskan Pemegang Amanah apa-apa tanggungan berkaitan dengan harta yang dipegang secara Amanah olehnya.

(3) Pemegang Amanah tidak boleh menjual,menarik balik atau memindahkan hak milik harta kepunyaan Persatuan dengan tidak mendapat kelululusan dan kuasa yang diberikan oleh Mesyuarat Agung Pertubuhan.

(4) Seseorang Pemegang Amanah itu boleh dilucutkan daripada jawatannya oleh Mesyuarat Agung oleh sebab uzur kerana penyakit,tidak siuman,tidak berada di dalam negeri atau kerana lain sebab yang mengakibatkan ia tidak boleh menjalankan tugas-tugasnya atau pekerjaannya dengan memuaskan.Jika berlaku kematian,perletakkan jawatan atau pemecatan seseorang Pemegang Amanah maka kekosongan itu boleh dipenuhkan oleh Pemegang Amanah yang baru dilantik di dalam Mesyuarat Agung.

FASAL 14 TAFSIRAN UNDANG-UNDANG
(1) Di antara berlansungnya Mesyuarat Agung, Jawatankuasa boleh memberikan tafsirannya kepada undang-undang ini dan Jawatankuasa, jika mustahak,boleh memutuskan perkara-perkara yang tidak terkandung di dalam undang-undang

(2) Kecuali perkara-perkara yang bertentangan atau tidak selaras dengan dasar yang telah dibuat dalam Mesyuarat Agung, keputusan Jawatankuasa terhadap ahli-ahli adalah muktamad jika tidak diubah oleh keputusan Mesyuarat Agung.

FASAL 15 PENAUNG/PENASIHAT
(1) Jawatankuasa boleh, jika difikirkan perlu, bagi sesuatu tempoh tertentu melantik mana-mana orang yang layak menjadi penaung dan/atau Penasihat-penasihat bagi Persatuan ini dengan syarat orang-orang yang dilantik itu menyatakan persetujuannya secara bertulis

FASAL 16 LARANGAN
(1) Sebarang bentuk judi dan permainan yang disebut di bawah ini tidak boleh dimainkan di dalam tempat urusan Persatuan atau dianjurkan oleh Persatuan: Roulette.Lotto, Fan Tan, Poh, Peh Bin, Belangkai, Pai Kau, Tau Ngau, Tien Kow, Chap Ji kee, Sam Cheong, Dua Puluh Satu, Tiga Puluh Satu, Sepuluh dan Setengah, semua permainan dadu, Banker’s game dan semua permainan yang bergantung kepada nasib;

(2) Persatuan atau ahli-ahlinya dilarang dan ditegah menghalang dan/atau dengan apa jua sekalipun cara mengganggu perniagaan atau harga barang-barang.

(3) Persatuan dilarang dan ditegah daripada mengambil peranan di dalam gerakan kesatuan sekerja seperti definisi dalam Akta Kesatuan Sekerja 1959;

(4) Persatuan ini tidak boleh menjalankan loteri sama ada dikhaskan kepada ahli-ahli atau tidak,atas nama Persatuan atau pegawai-pegawai atau Jawatankuasa atau ahli, tanpa kelulusan daripada pihak berkuasa berkenaan;

(5) ‘Faedah’ seperti yang diterangkan di bawah seksyen 2 Akta Pertubuhan 1966, tidaklah boleh diberikan oleh persatuan kepada mana-mana ahlinya.

(6) Mana-mana pertelingkahan, pertikaian atau kilanan sesama ahli dan/atau Jawatankuasa hendaklah dirujuk terlebih dahulu kepada seorang pengantara bagi mengurai dan menyelesaikan kilanan atau ketidakpuashatian berkenaan sebelum dirujuk kepada Pendaftar Pertubuhan dan/atau Mahkamah.

(7) Sekiranya Pengantara berpuas hati bahawa beliau tidak dapat menyelesaikannya, maka barulah pihak-pihak yang berkenaan boleh merujuk kepada pendaftar Pertubuhan dan/atau mahkamah. Keputusan pengantara adalah muktamad dan hendaklah terikat kepada setiap pihak yang terlibat dalam kilanan atau pertikaian atau pertenglikahan. Perbelanjaan ini hendaklah ditanggung oleh persatuan dan pihak-pihak yang terbabit secara sama rata.

FASAL 17 PINDAAN UNDANG-UNDANG
(1) Undang- undang ini tidak boleh di ubah atau di pinda kecuali dengan keputusan mesyuarat agung. Permohonan untuk perubahan atau pindaan kepada undang-undang hendaklah dibuat kepada pendaftar pertubuhan dalam masa 60 (enam puluh) hari daripada tarikh keputusan mesyuarat agung meluluskan perubahan atau pindaan itu dan hanya boleh dikuatkuasakan mulai daripada tarikh perubahan atau pindaan itu didaftarkan oleh pendaftar pertubuhan.

FASAL 18 PEMBUBARAN
(1) Persatuan ini boleh dibubarkan secara sukarela dengan persetujuan tidak kurang daripada tiga per lima(3/5) daripada jumlah ahli yang menghadiri dalam suatu mesyuarat Agung yang dipanggil khas kerananya.

(2) Sekiranya Pertubuhan hendak dibubarkan secara yang disebutkan di atas, maka segala hutang dan tanggungan Persatuan yang sah mengikut undang-undang hendaklah dijelaskan dengan baki wang yang tinggal hendaklah diselesaikan mengikut cara yang dipersetujui dalam Mesyuarat Agung berkenaan.

(3) Kenyataan bersabit dengan pembubaran itu hendaklah disampaikan kepada Pendaftar Pertubuhan dalam masa empat belas hari (14) dari tarikh pembubaran itu berkuatkuasa.




Setiausaha
Nor Azlina Bt Alias @ Alios

Pengerusi
Roslizawani Kartina Bt Zakaria

Undang-undang Tubuh ini berkuatkuasa mulai 8 Mei 2011